Amalan rumah terbuka sudah
menjadi lumrah untuk menyambut sesuatu perayaan termasuklah tiga
perayaan suku kaum terbesar di negara ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali
dan Tahun Baru Cina. Pada tahun 2000,
kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan suku kaum di
Malaysia dianggap sebagai perayaan utama yang diraikan di peringkat
kebangsaan. Melihat senario ini,
persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah adakah
penganjuran Rumah Terbuka Malaysia ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat
dan negara?
Pada hemat saya, Rumah Terbuka
Malaysia penting untuk mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia. Hal ini dikatakan demikian
kerana Rumah Terbuka Malaysia memberikan makna yang besar kepada masyarakat
mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis. Pada kelazimannya, setiap kaum seperti
Melayu, India, Cina dan sebagainya boleh berkunjung ke Rumah Terbuka Malaysia
tanpa sebarang halangan kerana pengunjung telah melupakan perbezaan antara
mereka baik dari segi bangsa, agama mahupun ideologi politik. Hal ini sudah pasti dapat memupuk perasaan
muhibah antara satu sama lain persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang
jernih. Tegasnya, konsep penyatuan
masyarakat pelbagai latar belakang dapat direalisasikan melalui penganjuran
Rumah Terbuka Malaysia.
Dari perspektif yang lain pula,
program Rumah Terbuka Malaysia juga dapat membantu rakyat Malaysia memahami
budaya kaum yang lain. Hal ini tercetus
apabila Rumah Terbuka Malaysia memberi ruang dan peluang kepada pengunjung
mempelajari budaya orang lain. Sebagai
contoh, pengunjung berpeluang menikmati juadah tradisi kaum-kaum yang diraikan
di samping mengetahui adat resam dan pantang larang yang digambarkan dalam sesebuah majlis rumah terbuka. Secara tidak langsung, semangat toleransi
akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang.
Maklumlah, tak kenal, maka tak cinta.
Sudah kenal, barulah dapat berbicara dengan hati terbuka. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain
dapat diketahui dan difahami melalui penganjuran rumah terbuka ini.
Selain itu, penganjuran Rumah
Terbuka Malaysia juga dapat memajukan industri pelancongan di negara ini. Hal ini boleh terjadi kerana Rumah Terbuka
Malaysia pasti akan menyajikan pelbagai acara menarik untuk santapan para
pengunjung dari dalam mahupun luar negara.
Biasanya, pengalaman dalam menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia
menjadi buah mulut pelancong apabila mereka kembali ke negara asal kerana tak
tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.
Dengan berbuat sedemikian, lebih ramai pelancong yang akan berkunjung ke
Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman menarik rakan mereka sebelum ini
selain bercuti untuk merehatkan minda daripada kerja rutin yang memenatkan
mereka. Bak kata peribahasa, “sambil
menyelam minum air”. Izharnya,
kepelbagaian acara yang menarik semasa majlis Rumah Terbuka Malaysia di
peringkat kebangsaan telah menggamit hati para pelancong untuk berkunjung di
negara ini sekali gus merancakkan industri
pelancongan di negara ini kerana ada gula, ada semut.
Konklusinya, penganjuran Rumah
Terbuka Malaysia banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, program ini perlu dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang prasangka negatif terhadap
penganjurannya. Sekiranya aktiviti
seumpama ini diteruskan, sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Wawasan 2020
akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komentar anda.