Sabtu, 28 Julai 2018

KEBAIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI


          Belakangan ini, isu yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi  sering menjadi buah mulut anggota masyarakat pada era globalisasi ini.  Dalam pada itu, ada pendapat mengatakan bahawa dunia kini berada di hujung jari kerana segala urusan dapat dilakukan dengan menekan satu klik sahaja.  Oleh itu, semua pihak mestilah sama-sama berganding bahu untuk mendepani isu ini bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat hari ini? 

            Pada pendapat saya, antara kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi adalah dapat berkongsi pendapat dengan orang lain.  Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi maklumat dan komunikasi membolehkan seseorang membincangkan isu tertentu secara maya tanpa batasan ruang dan waktu.  Di samping itu, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membolehkan seseorang menjana idea dengan lebih berkesan tanpa rasa segan atau bimbang ditertawakan oleh orang lain.  Sebaliknya, jika perkongsian pendapat dilakukan untuk tujuan yang tidak baik masyarakat akan menjadi kucar-kacir dan hidup tidak tenang seperti air dalam terenang.  Oleh hal yang demikian, perkongsian pendapat tersebut mestilah dipantau oleh pihak berkuasa agar tidak menjadi duri dalam daging yang boleh memusnahkan keharmonian negara.  Sebagai contoh,  forum perbincangan atas talian atau e-forum membuka ruang dan peluang kepada pelajar menyuarakan pendapat masing-masing pada bila-bila masa diperlukan.  Berdasarkan hujah yang dinyatakan sudah terang lagi bersuluh bahawa berkongsi pendapat dengan orang lain merupakan keistimewaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan.

            Selain itu, memperoleh maklumat dengan mudah dan pantas juga dikenal pasti sebagai salah satu kelebihan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat alaf ini.  Hal ini bermaksud teknologi maklumat dan komunikasi membantu seseorang mendapatkan sesuatu informasi tanpa perlu bersusah payah ke perpustakaan.  Lagipun, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membantu seseorang mempercepat proses penerokaan ilmu pengetahuan.  Ironinya, pada masa ini didapati bahawa masyarakat terlalu mudah memperoleh maklumat yang berbentuk hiburan yang mengasyikkan berbanding maklumat lain yang lebih bermanfaat.  Justeru, maklumat yang diperoleh mestilah ditapis terlebih dahulu agar pemikiran kita sentiasa bersih dan matang.  Sebagai tamsilan, dengan hanya menekan satu klik sahaja masyarakat kini telah berjaya mengakses maklumat yang diperlukan.  Huraian yang dinyatakan ini menjelaskan bahawa salah satu kebaikan teknologi maklumat dan komuniasi adalah memperoleh maklumat dengan mudah dan pantas.

            Kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi yang berikutnya adalah menjana pendapatan seseorang usahawan.  Dalam konteks ini, teknologi maklumat dan komunikasi membolehkan seseorang usahawan mempromosikan produk perniagaan mereka dengan lebih luas.  Tambahan pula, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membolehkan seseorang melakukan urusan jual beli dengan mudah dan pantas tanpa bertemu dengan pelanggan.  Cuba kita bayangkan, sekiranya orang ramai mengetahui akan kewujudan produk keluaran kita, perniagaan kita akan meraih keuntungan yang berlipat ganda kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan dari seluruh dunia.  Dalam konteks ini, penjanaan pendapatan melalui teknologi maklumat dan komunikasi mestilah diuruskan dengan sempurna agar urus niaga sentiasa berjalan dengan lancar.  Misalnya, penjanaan pendapatan merangkumi kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik melalui facebook atau laman sesawang  membantu usahawan memasarkan produk mereka tanpa perlu menyewa premis perniagaan.  Saya optimis bahawa menjana pendapatan merupakan antara kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat kini.

            Konklusinya, semua pihak haruslah berusaha untuk meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi bagi menyahut seruan kerajaan yang menginginkan rakyat di negara ini celik IT agar tidak dilabelkan sebagai orang yang ketinggalan zaman justeru pemikiran tidak seperti katak di bawah tempurung.  Usaha yang proaktif dan sistematik mesti dilakukan kerana perjalanan yang beribu-ribu batu, bermula dengan langkah yang pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komentar anda.