Pelan Penulisan Karangan (PEKA) digunakan untuk membina rangka karangan sebelum anda menulis sesebuah karangan agar karangan anda menjadi lebih tersusun dan sistematik.
Ahad, 29 Julai 2018
Sabtu, 28 Julai 2018
KEBAIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI
Belakangan
ini, isu yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi sering menjadi buah mulut anggota masyarakat
pada era globalisasi ini. Dalam pada
itu, ada pendapat mengatakan bahawa dunia kini berada di hujung jari kerana
segala urusan dapat dilakukan dengan menekan satu klik sahaja. Oleh itu, semua pihak mestilah sama-sama
berganding bahu untuk mendepani isu ini bak kata pepatah, “hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih”. Persoalannya,
apakah kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan
masyarakat hari ini?
Pada pendapat saya, antara kebaikan
teknologi maklumat dan komunikasi adalah dapat berkongsi pendapat dengan orang
lain. Hal ini dikatakan demikian kerana
teknologi maklumat dan komunikasi membolehkan seseorang membincangkan isu
tertentu secara maya tanpa batasan ruang dan waktu. Di samping itu, teknologi maklumat dan
komunikasi ini juga membolehkan seseorang menjana idea dengan lebih
berkesan tanpa rasa segan atau bimbang ditertawakan oleh orang lain. Sebaliknya, jika perkongsian pendapat
dilakukan untuk tujuan yang tidak baik masyarakat akan menjadi kucar-kacir dan
hidup tidak tenang seperti air dalam terenang.
Oleh hal yang demikian, perkongsian pendapat tersebut mestilah dipantau
oleh pihak berkuasa agar tidak menjadi duri dalam daging yang boleh
memusnahkan keharmonian negara. Sebagai
contoh, forum perbincangan atas talian
atau e-forum membuka ruang dan peluang kepada pelajar menyuarakan pendapat
masing-masing pada bila-bila masa diperlukan.
Berdasarkan hujah yang dinyatakan sudah terang lagi bersuluh bahawa
berkongsi pendapat dengan orang lain merupakan keistimewaan teknologi maklumat
dan komunikasi dalam kehidupan.
Selain itu, memperoleh maklumat
dengan mudah dan pantas juga dikenal pasti sebagai salah satu kelebihan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat alaf ini. Hal ini bermaksud teknologi maklumat dan
komunikasi membantu seseorang mendapatkan sesuatu informasi tanpa perlu bersusah
payah ke perpustakaan. Lagipun, teknologi
maklumat dan komunikasi ini juga membantu seseorang mempercepat proses
penerokaan ilmu pengetahuan. Ironinya,
pada masa ini didapati bahawa masyarakat terlalu mudah memperoleh maklumat yang
berbentuk hiburan yang mengasyikkan berbanding maklumat lain yang lebih
bermanfaat. Justeru, maklumat yang
diperoleh mestilah ditapis terlebih dahulu agar pemikiran kita sentiasa bersih
dan matang. Sebagai tamsilan, dengan
hanya menekan satu klik sahaja masyarakat kini telah berjaya mengakses maklumat
yang diperlukan. Huraian yang dinyatakan
ini menjelaskan bahawa salah satu kebaikan teknologi maklumat dan komuniasi
adalah memperoleh maklumat dengan mudah dan pantas.
Kebaikan teknologi maklumat dan
komunikasi yang berikutnya adalah menjana pendapatan seseorang usahawan. Dalam konteks ini, teknologi maklumat dan
komunikasi membolehkan seseorang usahawan mempromosikan produk perniagaan
mereka dengan lebih luas.
Tambahan pula, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membolehkan
seseorang melakukan urusan jual beli dengan mudah dan pantas tanpa
bertemu dengan pelanggan. Cuba
kita bayangkan, sekiranya orang ramai mengetahui akan kewujudan produk keluaran
kita, perniagaan kita akan meraih keuntungan yang berlipat ganda kerana
permintaan yang tinggi daripada pelanggan dari seluruh dunia. Dalam konteks ini, penjanaan pendapatan
melalui teknologi maklumat dan komunikasi mestilah diuruskan dengan sempurna agar
urus niaga sentiasa berjalan dengan lancar.
Misalnya, penjanaan pendapatan merangkumi kaedah e-dagang atau
perdagangan elektronik melalui facebook atau laman sesawang membantu usahawan memasarkan produk mereka
tanpa perlu menyewa premis perniagaan.
Saya optimis bahawa menjana pendapatan merupakan antara kepentingan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat kini.
Konklusinya, semua pihak haruslah
berusaha untuk meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi
bagi menyahut seruan kerajaan yang menginginkan rakyat di negara ini celik IT agar
tidak dilabelkan sebagai orang yang ketinggalan zaman justeru pemikiran tidak
seperti katak di bawah tempurung.
Usaha yang proaktif dan sistematik mesti dilakukan kerana perjalanan
yang beribu-ribu batu, bermula dengan langkah yang pertama.
Khamis, 12 Julai 2018
PEMAHAMAN KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Jawab
soalan-soalan berikut berdasarkan cerita Kepimpinan
Melalui Teladan dengan menggunakan ayat yang gramatis.
- Apakah yang diperoleh oleh Kertala Sari sewaktu berada di Daha?
- Berikan maksud rangkai kata tanpa kedep tembung laku.
- Mengapakah Patih Gajah Mada memanggil Kertala Sari mengadapnya?
- Apakah reaksi Kertala Sari setelah mendengar kata-kata Patih Gajah Mada?
- Berikan maksud rangkai kata dapat manira alahkan dengan seorang kula.
- Apakah syarat yang dikemukakan Kertala Sari sebelum dilantik sebagai penggawa?
- Apakah tindakan Patih Gajah Mada setelah mendengar Kertala Sari ingin membunuh Ratu Melaka dan laksamana?
- Nyatakan maksud rangkai kata ‘beroleh penjurit terlalu kepetangan’.
- Apakah yang dilakukan oleh Kertala Sari setelah dia sampai di Melaka?
- Apakah reaksi raja setelah mendengar aduan saudagar kaya dirompak?
- Berikan maksud rangkai kata ‘berkerah segala hamba’.
- Apakah maksud rangkai kata ‘bukan barang-barang penjurit’?
- Apakah rancangan Kertala Sari sekiranya dia sampai di istana?
- Berikan maksud rangkai kata ‘terlalu gemuruh bahananya’.
- Bagaimanakah laksamana dapat mengalahkan Kertala Sari?
- Nyatakan maksud ‘perlente mati’.
- Berikan maksud ‘memalu mong-mongan suruh mari’.
- Bagaimanakah laksamana membahagi-bahagikan harta yang diperolehnya?
KEPENTINGAN PENGANJURAN RUMAH TERBUKA MALAYSIA
Amalan rumah terbuka sudah
menjadi lumrah untuk menyambut sesuatu perayaan termasuklah tiga
perayaan suku kaum terbesar di negara ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali
dan Tahun Baru Cina. Pada tahun 2000,
kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan suku kaum di
Malaysia dianggap sebagai perayaan utama yang diraikan di peringkat
kebangsaan. Melihat senario ini,
persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah adakah
penganjuran Rumah Terbuka Malaysia ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat
dan negara?
Pada hemat saya, Rumah Terbuka
Malaysia penting untuk mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di
Malaysia. Hal ini dikatakan demikian
kerana Rumah Terbuka Malaysia memberikan makna yang besar kepada masyarakat
mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis. Pada kelazimannya, setiap kaum seperti
Melayu, India, Cina dan sebagainya boleh berkunjung ke Rumah Terbuka Malaysia
tanpa sebarang halangan kerana pengunjung telah melupakan perbezaan antara
mereka baik dari segi bangsa, agama mahupun ideologi politik. Hal ini sudah pasti dapat memupuk perasaan
muhibah antara satu sama lain persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang
jernih. Tegasnya, konsep penyatuan
masyarakat pelbagai latar belakang dapat direalisasikan melalui penganjuran
Rumah Terbuka Malaysia.
Dari perspektif yang lain pula,
program Rumah Terbuka Malaysia juga dapat membantu rakyat Malaysia memahami
budaya kaum yang lain. Hal ini tercetus
apabila Rumah Terbuka Malaysia memberi ruang dan peluang kepada pengunjung
mempelajari budaya orang lain. Sebagai
contoh, pengunjung berpeluang menikmati juadah tradisi kaum-kaum yang diraikan
di samping mengetahui adat resam dan pantang larang yang digambarkan dalam sesebuah majlis rumah terbuka. Secara tidak langsung, semangat toleransi
akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang.
Maklumlah, tak kenal, maka tak cinta.
Sudah kenal, barulah dapat berbicara dengan hati terbuka. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain
dapat diketahui dan difahami melalui penganjuran rumah terbuka ini.
Selain itu, penganjuran Rumah
Terbuka Malaysia juga dapat memajukan industri pelancongan di negara ini. Hal ini boleh terjadi kerana Rumah Terbuka
Malaysia pasti akan menyajikan pelbagai acara menarik untuk santapan para
pengunjung dari dalam mahupun luar negara.
Biasanya, pengalaman dalam menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia
menjadi buah mulut pelancong apabila mereka kembali ke negara asal kerana tak
tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.
Dengan berbuat sedemikian, lebih ramai pelancong yang akan berkunjung ke
Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman menarik rakan mereka sebelum ini
selain bercuti untuk merehatkan minda daripada kerja rutin yang memenatkan
mereka. Bak kata peribahasa, “sambil
menyelam minum air”. Izharnya,
kepelbagaian acara yang menarik semasa majlis Rumah Terbuka Malaysia di
peringkat kebangsaan telah menggamit hati para pelancong untuk berkunjung di
negara ini sekali gus merancakkan industri
pelancongan di negara ini kerana ada gula, ada semut.
Konklusinya, penganjuran Rumah
Terbuka Malaysia banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, program ini perlu dihayati dengan
mendalam oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang prasangka negatif terhadap
penganjurannya. Sekiranya aktiviti
seumpama ini diteruskan, sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Wawasan 2020
akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin semata-mata.
Langgan:
Catatan (Atom)