Ahad, 29 Julai 2018

PELAN PENULISAN KARANGAN (PEKA)

Pelan Penulisan Karangan (PEKA) digunakan untuk membina rangka karangan sebelum anda menulis sesebuah karangan agar karangan anda menjadi lebih tersusun dan sistematik.  

iTHINK DI SEBALIK DINARA

Sabtu, 28 Julai 2018

KEBAIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI


          Belakangan ini, isu yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi  sering menjadi buah mulut anggota masyarakat pada era globalisasi ini.  Dalam pada itu, ada pendapat mengatakan bahawa dunia kini berada di hujung jari kerana segala urusan dapat dilakukan dengan menekan satu klik sahaja.  Oleh itu, semua pihak mestilah sama-sama berganding bahu untuk mendepani isu ini bak kata pepatah, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.  Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat hari ini? 

            Pada pendapat saya, antara kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi adalah dapat berkongsi pendapat dengan orang lain.  Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi maklumat dan komunikasi membolehkan seseorang membincangkan isu tertentu secara maya tanpa batasan ruang dan waktu.  Di samping itu, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membolehkan seseorang menjana idea dengan lebih berkesan tanpa rasa segan atau bimbang ditertawakan oleh orang lain.  Sebaliknya, jika perkongsian pendapat dilakukan untuk tujuan yang tidak baik masyarakat akan menjadi kucar-kacir dan hidup tidak tenang seperti air dalam terenang.  Oleh hal yang demikian, perkongsian pendapat tersebut mestilah dipantau oleh pihak berkuasa agar tidak menjadi duri dalam daging yang boleh memusnahkan keharmonian negara.  Sebagai contoh,  forum perbincangan atas talian atau e-forum membuka ruang dan peluang kepada pelajar menyuarakan pendapat masing-masing pada bila-bila masa diperlukan.  Berdasarkan hujah yang dinyatakan sudah terang lagi bersuluh bahawa berkongsi pendapat dengan orang lain merupakan keistimewaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan.

            Selain itu, memperoleh maklumat dengan mudah dan pantas juga dikenal pasti sebagai salah satu kelebihan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat alaf ini.  Hal ini bermaksud teknologi maklumat dan komunikasi membantu seseorang mendapatkan sesuatu informasi tanpa perlu bersusah payah ke perpustakaan.  Lagipun, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membantu seseorang mempercepat proses penerokaan ilmu pengetahuan.  Ironinya, pada masa ini didapati bahawa masyarakat terlalu mudah memperoleh maklumat yang berbentuk hiburan yang mengasyikkan berbanding maklumat lain yang lebih bermanfaat.  Justeru, maklumat yang diperoleh mestilah ditapis terlebih dahulu agar pemikiran kita sentiasa bersih dan matang.  Sebagai tamsilan, dengan hanya menekan satu klik sahaja masyarakat kini telah berjaya mengakses maklumat yang diperlukan.  Huraian yang dinyatakan ini menjelaskan bahawa salah satu kebaikan teknologi maklumat dan komuniasi adalah memperoleh maklumat dengan mudah dan pantas.

            Kebaikan teknologi maklumat dan komunikasi yang berikutnya adalah menjana pendapatan seseorang usahawan.  Dalam konteks ini, teknologi maklumat dan komunikasi membolehkan seseorang usahawan mempromosikan produk perniagaan mereka dengan lebih luas.  Tambahan pula, teknologi maklumat dan komunikasi ini juga membolehkan seseorang melakukan urusan jual beli dengan mudah dan pantas tanpa bertemu dengan pelanggan.  Cuba kita bayangkan, sekiranya orang ramai mengetahui akan kewujudan produk keluaran kita, perniagaan kita akan meraih keuntungan yang berlipat ganda kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan dari seluruh dunia.  Dalam konteks ini, penjanaan pendapatan melalui teknologi maklumat dan komunikasi mestilah diuruskan dengan sempurna agar urus niaga sentiasa berjalan dengan lancar.  Misalnya, penjanaan pendapatan merangkumi kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik melalui facebook atau laman sesawang  membantu usahawan memasarkan produk mereka tanpa perlu menyewa premis perniagaan.  Saya optimis bahawa menjana pendapatan merupakan antara kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan masyarakat kini.

            Konklusinya, semua pihak haruslah berusaha untuk meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi bagi menyahut seruan kerajaan yang menginginkan rakyat di negara ini celik IT agar tidak dilabelkan sebagai orang yang ketinggalan zaman justeru pemikiran tidak seperti katak di bawah tempurung.  Usaha yang proaktif dan sistematik mesti dilakukan kerana perjalanan yang beribu-ribu batu, bermula dengan langkah yang pertama.

Khamis, 12 Julai 2018

PEMAHAMAN KEPIMPINAN MELALUI TELADAN


Jawab soalan-soalan berikut berdasarkan cerita Kepimpinan Melalui Teladan dengan menggunakan ayat yang gramatis.

  1. Apakah yang diperoleh oleh Kertala Sari sewaktu berada di Daha?
  2. Berikan maksud rangkai kata tanpa kedep tembung laku.
  3. Mengapakah Patih Gajah Mada memanggil Kertala Sari mengadapnya?
  4. Apakah reaksi Kertala Sari setelah mendengar kata-kata Patih Gajah Mada?
  5. Berikan maksud rangkai kata dapat manira alahkan dengan seorang kula.
  6. Apakah syarat yang dikemukakan Kertala Sari sebelum dilantik sebagai penggawa?
  7. Apakah tindakan Patih Gajah Mada setelah mendengar Kertala Sari ingin membunuh Ratu Melaka dan laksamana?
  8. Nyatakan maksud rangkai kata ‘beroleh penjurit terlalu kepetangan’.
  9. Apakah yang dilakukan oleh Kertala Sari setelah dia sampai di Melaka?
  10. Apakah reaksi raja setelah mendengar aduan saudagar kaya dirompak?
  11. Berikan maksud rangkai kata ‘berkerah segala hamba’.
  12. Apakah maksud rangkai kata ‘bukan barang-barang penjurit’?
  13. Apakah rancangan Kertala Sari sekiranya dia sampai di istana?
  14. Berikan maksud rangkai kata ‘terlalu gemuruh bahananya’.
  15. Bagaimanakah laksamana dapat mengalahkan Kertala Sari?
  16. Nyatakan maksud ‘perlente mati’.
  17. Berikan maksud ‘memalu mong-mongan suruh mari’.
  18. Bagaimanakah laksamana membahagi-bahagikan harta yang diperolehnya?

KEPENTINGAN PENGANJURAN RUMAH TERBUKA MALAYSIA


      Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk menyambut sesuatu perayaan termasuklah tiga perayaan suku kaum terbesar di negara ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina.  Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan suku kaum di Malaysia dianggap sebagai perayaan utama yang diraikan di peringkat kebangsaan.  Melihat senario ini, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah adakah penganjuran Rumah Terbuka Malaysia ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan negara?
      Pada hemat saya, Rumah Terbuka Malaysia penting untuk mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.  Hal ini dikatakan demikian kerana Rumah Terbuka Malaysia memberikan makna yang besar kepada masyarakat mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis.  Pada kelazimannya, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina dan sebagainya boleh berkunjung ke Rumah Terbuka Malaysia tanpa sebarang halangan kerana pengunjung telah melupakan perbezaan antara mereka baik dari segi bangsa, agama mahupun ideologi politik.  Hal ini sudah pasti dapat memupuk perasaan muhibah antara satu sama lain persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih.  Tegasnya, konsep penyatuan masyarakat pelbagai latar belakang dapat direalisasikan melalui penganjuran Rumah Terbuka Malaysia.

      Dari perspektif yang lain pula, program Rumah Terbuka Malaysia juga dapat membantu rakyat Malaysia memahami budaya kaum yang lain.  Hal ini tercetus apabila Rumah Terbuka Malaysia memberi ruang dan peluang kepada pengunjung mempelajari budaya orang lain.  Sebagai contoh, pengunjung berpeluang menikmati juadah tradisi kaum-kaum yang diraikan di samping mengetahui adat resam dan pantang larang yang digambarkan dalam sesebuah majlis rumah terbuka.  Secara tidak langsung, semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang.  Maklumlah, tak kenal, maka tak cinta.  Sudah kenal, barulah dapat berbicara dengan hati terbuka.  Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain dapat diketahui dan difahami melalui penganjuran rumah terbuka ini.
      Selain itu, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia juga dapat memajukan industri pelancongan di negara ini.  Hal ini boleh terjadi kerana Rumah Terbuka Malaysia pasti akan menyajikan pelbagai acara menarik untuk santapan para pengunjung dari dalam mahupun luar negara.  Biasanya, pengalaman dalam menghadiri majlis Rumah Terbuka Malaysia menjadi buah mulut pelancong apabila mereka kembali ke negara asal kerana tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.  Dengan berbuat sedemikian, lebih ramai pelancong yang akan berkunjung ke Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman menarik rakan mereka sebelum ini selain bercuti untuk merehatkan minda daripada kerja rutin yang memenatkan mereka.  Bak kata peribahasa, “sambil menyelam minum air”.  Izharnya, kepelbagaian acara yang menarik semasa majlis Rumah Terbuka Malaysia di peringkat kebangsaan telah menggamit hati para pelancong untuk berkunjung di negara ini sekali gus merancakkan industri pelancongan di negara ini kerana ada gula, ada semut.

      Konklusinya, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia banyak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.   Oleh itu, program ini perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang prasangka negatif terhadap penganjurannya.  Sekiranya aktiviti seumpama ini diteruskan, sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin semata-mata.