Anda ingin mengemukakan pendapat tentang usaha-usaha untuk menangani kenaikan harga barang akhir-akhir ini dalam ruangan Forum Pembaca akhbar tempatan. Tulis sepucuk surat kepada editor ruangan forum tersebut selengkapnya.
Dg. Ariana Rania Binti Sulaiman,
Kg. Buang Sayang, Jalan SMK. Pengiran
Omar,
89857 Sipitang,
SABAH.
________________________________________________________________________
Editor,
Ruangan Forum Pembaca, Akhbar Utusan
Malaysia,
46, Jalan Sungai Besi,
50750 KUALA LUMPUR. 26
JULAI 2016.
Tuan,
Usaha-usaha untuk Menangani Kenaikan
Harga Barang
Sejak
akhir-akhir ini, masyarakat di negara ini sering mengadu tentang kenaikan harga
barang yang semakin menghimpit kehidupan mereka (TEMA). Kenaikan harga barang ini terjadi akibat kenaikan
kos operasi sesebuah perniagaan di samping sikap peniaga yang mengambil
kesempatan berikutan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh kerajaan (ISU). Malah, keadaan ini semakin menjadi-jadi selepas pelaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak
April tahun 2015 (ISU). Oleh itu,
pelbagai langkah drastik dan proaktif perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah
ini demi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat di negara ini (KEHENDAK
SOALAN).
2. Pada pendapat saya, antara prakarsa yang
perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut kenaikan harga barang dewasa ini adalah
dengan pemantauan secara berterusan (AYAT TOPIK). Hal ini dikatakan demikian kerana pemantauan
yang dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat mengenal pasti peniaga yang
menaikkan harga barangan secara sewenang-wenangnya (AYAT HURAIAN). Di samping itu, KPDNKK yang menjalankan
operasi penguatkuasaan di setiap premis perniagaan mampu memberi peringatan dan
pengajaran kepada peniaga yang ingin meraih keuntungan yang tidak munasabah (AYAT
SOKONGAN). Sebagai contoh,
melalui operasi yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDNKK Pahang, seorang peniaga iaitu A.Selvakumar yang
berusia 32 tahun telah didakwa dan didenda RM8000 oleh mahkamah kerana menaikkan harga dua barang jualan iaitu bahan
pencuci Biozip 2.5 kg dari RM9.90 menjadi RM10.60 dan Downy Sunrise Fresh 900ml
dari RM10.30 menjadi RM11.24 (AYAT CONTOH). Jelaslah bahawa pihak berkuasa yang kerap
turun padang untuk memantau kegiatan jual beli di pasaran dapat mengekang
kegiatan tidak bertanggungjawab peniaga yang menaikkan harga barangan jualan
mereka (AYAT PENEGAS).
3. Selain itu, menggunakan hak pengguna juga
dikenal pasti sebagai salah satu cara menangani kenaikan harga barang di
pasaran. Hal ini bermaksud pengguna
wajar menggunakan hak mereka untuk memilih barangan atau perkhidmatan yang
ditawarkan pada harga yang kompetetif justeru para pengguna patut memboikot
peniaga yang menaikkan harga produk jualan mereka. Lagipun, pengguna juga berhak menyuarakan
ketidakpuasan hati terhadap sikap peniaga yang menjejaskan kepentingan mereka
sebagai pengguna. Malah, para pengguna
juga perlu melaporkan segala salah laku peniaga
kepada Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP) KPDNKK sama ada melalui
telefon, e-mel, surat atau datang sendiri ke pusat aduan tersebut. Dalam hal ini, Datuk Seri Hassan Malek,
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengatakan
bahawa kerajaan mahu rakyat memainkan hak mereka sebagai pengguna dengan
menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kenaikan harga barang yang
berlaku di negara ini. Dengan itu, sudah
terang lagi bersuluh bahawa salah satu langkah mengawal kenaikan harga barang
adalah dengan menggunakan hak sebagai pengguna yang bijaksana.
4. Usaha menangani kenaikan harga barang
yang berikutnya adalah dengan menggunakan bahan bakar alternatif. Dalam konteks ini, bahan bakar alternatif
seperti biodiesel dapat menggantikan bahan bakar fosil yang banyak mempengaruhi
kos operasi sesebuah perniagaan.
Tambahan pula, bahan bakar alternatif berupaya untuk mengurangkan
kebergantungan terhadap petrol dan diesel yang mahal harganya berbanding
biodiesel. Misalannya, bahan bakar
alternatif seperti minyak egusi melon telah diuji dapat mengurangkan kos petrol
sebanyak 20 peratus dan diesel sebanyak 10 peratus. Bukan itu sahaja, Dasar Biobahan Api Negara
telah menyarankan supaya penggunaan bahan api bio berasaskan kelapa sawit (B5) untuk
pengangkutan dan perindustrian bagi mengurangkan kos bahan api fosil yang tidak
menentu di pasaran dunia. Saya optimis
bahawa bahan api alternatif yang dihasilkan melalui minyak sayuran dan lemak
haiwan yang menjalani proses kimia mampu mengecilkan kos pengeluaran sekali gus
dapat mengawal kenaikan harga barang.
5. Konklusinya, semua pihak haruslah
berusaha dan bekerjasama bagi menangani isu kenaikan harga barang agar tidak
terus membelenggu kehidupan masyarakat pada hari ini. Pihak kerajaan, pengguna malah para pengeluar
sendiri wajar memainkan peranan masing-masing untuk mengelakkan masalah ini
berterusan tanpa kawalan. Dalam hal ini,
orang bijak pandai pernah berpesan bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung,
masakan dapat sagunya. Setiap usaha yang
dilakukan pula janganlah seperti melepaskan batuk di tangga tanpa kesungguhan
sehingga ada peniaga yang tidak serik dengan menangguk di air yang keruh untuk
mengambil kesempatan terhadap pengguna yang tidak mempunyai banyak pilihan.
Saya
berharap lontaran pandangan saya ini akan terpilih untuk disiarkan dalam
ruangan Forum Pembaca akhbar pihak tuan.
Dengan itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas perhatian dan
tindakan pihak tuan selanjutnya. Sekian,
terima kasih.
Yang
benar,
RaniaSulaiman
(DAYANG
ARIANA RANIA BT. SULAIMAN)