Sabtu, 1 November 2014

KEPENTINGAN BERSUKAN KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

      Antara keistimewaan sukan adalah membantu meningkatkan tahap kesihatan pengamalnya.  Misalnya, cara rentak kuda melompat dan berlari dalam sukan berkuda seperti equestrian menyebabkanvetebra tulang belakang penunggan kuda tersebut bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni.  Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah yang berkaitan dengan tulang belakang manusia.  Selain itu, sukan renang pula mampu menguatkan mental dan fizikal perenang kerana sukan ini memerlukan satu gerakan yang berkoordinasi antara anggota kaki dan tangan di samping meransang system kardiovaskular mereka.  Ringkasnya, semua aktiviti sukan memiliki kemaslahatannya yang tersendiri terhadap kesihatan pengamalnya justeru setiap individu perlu melakukan aktiviti ini agar terhindar daripada sebarang penyakit berbahaya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. 

      Sebagai tambahan, ekonomi negara juga dapat dipertingkatkan melalui aktiviti sukan.  Contohnya, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Le Tour de Langkawi, Sukan SEA dan Formula 1 telah banyak menyumbang pendapatan kepada negara.  Tidak dapat dinafikan bahawa penganjuran sukan komanwel pada tahun 1998 telah membantu menangani kemelesetan ekonomi negara pada tahun tersebut.  Contoh lain pula, Amerika Syarikat yang pernah menganjurkan Sukan Olimpik di Atlanta telah mendapat keuntungan sebanyak USD20 billion.  Pendapatan negara terjana melalui kedatangan pelancong yang ramai untuk menyaksikan temasya sukan yang berprestij itu kerana ada gula, ada semut.  Pengaliran wang asing masuk ke negara ini akan bertambah rancak sekaligus meningkatkan ekonomi sekaligus menjana sumber ekonomi negara.  Mantan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menyatakan  dalam MSEI 2012 bahawa bidang sukan tidak boleh dilihat dari segi taruhan pingat atau rekreasi semata-mata, sebaliknya bertindak sebagai penggerak ekonomi negara.  Jelaslah bahawa sumber pendapatan negara diperoleh daripada aktiviti sukan yang dilangsungkan secara besar-besaran.

      Di samping itu, sukan juga mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.  Sebagai tamsilannya, sesebuah pasukan bola sepak mesti terdiri daripada pelbagai latar belakang.  Untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat dan digeruni oleh pihak lawan, mereka mesti mewujudkan persefahaman yang antara satu sama lain.  Situasi ini sangat penting untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai bak kata peribahasa, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh."  Bukan setakat pemain sahaja  semangat perpaduan itu terjalin tetapi juga penyokong atau penonton yang menyaksikan perlawanan juga mendapat manfaat yang sama.  Mereka berkesempatan untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar pendapat semasa acara tersebut diadakan.  Jalinan persahabatan ini akan mengurangkan sentimen perkauman atau kenegerian yang mampu menggugat keharmonian negara.  Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa pengalaman kita dan juga pengalaman orang lain telah membuktikan betapa padahnya jika isu perkauman tidak diawasi dan dibendung sebaiknya.  Oleh itu, para atlet dan peminat sukan tanah air patut bertanggungjawab dalam memelihara perpaduan di negara ini.  Pendek kata, penglibatan dalam bidang sukan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung mampu mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk agar negara sentiasa aman seperti air dalam terenang.

      Tuntasnya, penglibatan secara konsisten dalam sukan mempunyai banyak kelebihannya kepada masyarakat dan negara.  Oleh itu, pihak kerajaan haruslah menambah frasarana sukan seperti gelanggang, dewan, padang dan sebagainya untuk menarik minat masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.  Sementara itu, masyarakat pula perlu menyahut seruan kerajaan supaya menjalani gaya hidup yang sihat dengan melibatkan diri dalam satu bidang sukan yang digemari kerana tepuk tangan sebelah takkan berbunyi.  Ibu bapa pula perlu menggalakkan anak-anak untuk bergiat dalam sukan dengan menghantar anak-anak menjalani kem sukan atau membelikan kelengkapan sukan yang digemari oleh anak-anak mereka.  Tindakan ini perlu dilakukan kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah mengatakan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim mafhumnya, "Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah".  Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa sukan semestinya membawa sejuta manfaat kepada semua sehingga Nabi Muhammad S.A.W telah menggalakkan umatnya supaya aktif bersukan sejak kecil lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komentar anda.