Pasar tani yang telah diilhamkan oleh FAMA sejak tahun 1985 lagi merupakan medan pertemuan pengeluar dan pengguna untuk menjalankan urusan jual beli baik hasil pertanian mahupun produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Kini, pasar tani menjadi kunjungan utama pengguna berikutan kenaikan harga barangan di pasaran. Hal ini terbukti menerusi kenyataan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin yang menyatakan bahawa pengunjung ke pasar tani meningkat sebanyak 50 peratus sejak bulan Mac pada tahun 2015. Senario ini menjelaskan bahawa kewujudan pasar tani di negara ini mempunyai seribu satu keistimewaannya kepada masyarakat Malaysia.
Antara keistimewaan pasar tani adalah memasarkan hasil pertanian yang segar. Hal ini dikatakan demikian kerana barangan yang dijual oleh peniaga pasar tani merupakan bekalan yang diambil terus dari ladang tanpa perlu ditambah bahan pengawet untuk mengekalkan kesegarannya. Lagipun, waktu urus niaga di pasar tani kebiasaannya singkat iaitu pada waktu pagi sahaja. Oleh itu, kesegaran hasil pertanian seperti ikan dan sayuran tidaklah hilang kerana tidak disimpan dalam tempoh yang lama sebelum dijual. Tambahan pula, barangan di pasar tani akan sentiasa dipantau supaya tidak ada peniaga yang bertindak seperti menangguk di air yang keruh sehingga mengaburi pembeli untuk membeli produk mereka. Sebagai contoh, kakitangan FAMA kerap turun padang untuk memantau mutu barangan yang diniagakan di pasar tani dan akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak mementingkan kesegaran produk mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hasil pertanian yang dipasarkan di pasar tani terjamin kesegarannya di samping melindungi hak para pengguna.
Kelebihan pasar tani yang berikutnya adalah menawarkan harga yang berpatutan kepada pembeli. Dalam konteks ini, para peniaga berupaya menurunkan harga jualan mereka kerana mereka mendapat bekalan terus dari ladang kontrak, ladang persendirian atau pembekal. Urusan seperti ini telah mengetepikan peranan orang tengah yang selalu bertindak seperti lintah darat dengan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda. Malahan, pihak kerajaan telah menyasarkan kesemua 587 pasar tani di 331 buah lokasi di seluruh negara akan bebas daripada cengkaman orang tengah atau pemborong. Dengan ini, harga barangan di pasar tani dijamin lebih murah berbanding premis perniagaan yang lain. Hal ini diakui sendiri oleh Datuk Ahmad Ishak, Ketua Pengarah FAMA yang mengatakan bahawa produk yang dijual di pasar tani dijamin murah lima hingga sepuluh peratus daripada harga pasaran. Bukan itu sahaja, pembeli juga bebas melakukan proses tawar menawar harga barang sebelum membelinya dengan harga yang dipersetujui bersama. Jelaslah bahawa harga barangan yang murah di pasar tani merupakan kemaslahatan pasar tani yang tidak boleh dinafikan.
Selain itu, pasar tani juga berupaya membantu peniaga-peniaga kecil memajukan perniagaan mereka. Hal ini bermaksud para peniaga yang tidak mempunyai tapak untuk menjual produk pertanian mereka berpeluang menjual hasil tersebut di pasar tani. Malah, peniaga juga akan mengurangkan pergantungan kepada orang tengah sekali gus meningkatkan pendapatan mereka. Tambahan pula, pihak FAMA akan melakukan pelbagai aktiviti untuk menarik perhatian pengguna dan pengunjung bagi membantu mempromosikan jualan para peniaga yang terbabit. Sebagai contoh, FAMA mengadakan karnival jualan dan menyediakan payung-payung khusus untuk peniaga-peniaga pasar tani berniaga dengan sempurna dan menarik. Dalam konteks yang lain pula, peserta-peserta pasar tani akan diberikan latihan seperti kursus kejurujualan, perakaunan, motivasi keusahawanan, bengkel, seminar dan sebagainya bagi meningkatkan tahap keusahawanan mereka. Dengan ini, program pasar tani dapatlah dikatakan sebagai program serampang dua mata kerana peserta bukan sahaja dapat berniaga tetapi juga dapat menimba ilmu keusahawanan bak kata peribahasa, sambil menyelam, minum air. Ringkasnya, pasar tani banyak memberi ruang dan peluang kepada usahawan desa meningkatkan margin keuntungan perniagaan mereka.
Tuntasnya, pasar tani semakin relevan kewujudannya pada masa ini di tengah-tengah kemelut kenaikan kos sara hidup masyarakat Malaysia. Harga yang jauh lebih murah dan kualiti barangan yang segar telah menjadi bualan masyarakat sehingga banyak pengunjung pasar tani menyatakan pandangan bahawa membeli belah di pasar tani mampu menjimatkan perbelanjaan seharian mereka. Dalam hal ini, orang bijak pandai ada mengatakan bahawa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak mengata. Oleh itu, usaha pihak FAMA dalam memajukan pasar tani di Malaysia harus diberikan pujian kerana membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian masyarakat. Slogan ‘Segar, Murah, Terus dari Ladang’ yang dipelopori oleh FAMA untuk pasar tani di seluruh Malaysia menjadikan pasar tani terus signifikan di hati para pengguna.