Pada masa kini, masalah kesesakan jalan raya sudah menjadi masalah yang sering menghantui pengguna jalan raya di Malaysia. Pelbagai kempen telah dijalankan oleh pihak kerajaan namun usaha tersebut ibarat mencurahkan air ke daun keladi kerana formula untuk menyelesaikannya masih menemui jalan buntu. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Wajarkah masyarakat menuding jari kepada pihak kerajaan semata-mata? Seharusnya semua pihak perlu menyedari bahawa kesesakan jalan raya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak selama ini.
Salah satu punca kesesakan jalan raya ialah keadaan jalan raya itu sendiri. Kebanyakan jalan raya di negara ini sempit terutamanya jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri. Keadaan ini menyebabkan jalan raya tidak dapat menampung kenderaan yang banyak pada satu-satu masa terutamanya pada musim perayaan. Selain itu, aktiviti peyelenggaraan jalan raya turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya. Kerja-kerja membaik pulih jalan raya yang rosak menyebabkan laluan kenderaan menjadi sempit sehingga kenderaan yang melalui kawasan tersebut terpaksa bergerak dengan perlahan-lahan. Sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan tersebut tidak dipantau oleh pihak berkuasa dengan sebaiknya akan menyebabkan para pekerja akan bekerja seperti melepaskan batok di tangga. Keadaan ini mengakibatkan kerja-kerja penyelenggaraan memakan masa yang agak panjang hingga akhirnya masalah kesesakan jalan raya tidak dapat diselesaikan dengan segera.
Di samping itu, pertumbuhan industri automobil yang pesat turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya. Di Malaysia, pertumbuhan industri ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain dalam bidang pengeluaran kenderaan. Tambahan pula, harga kereta buatan Malaysia yang ditawarkan amat berpatutan dan berkualiti tinggi menjadikan rakyat Malaysia alah membeli, menang memakai. Antara kereta buatan Malaysia yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran ialah Perodua Kancil, Myvi, Viva, dan Proton Wira. Pertumbuhan industri automobil yang pesat dengan harga yang berpatutan menyebabkan rakyat Malaysia berlumba-lumba untuk membeli kenderaan buata Malaysia. Hal ini mengakibatkan bilangan kenderaan semakin bertambah di jalan raya sekaligus menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Kelembapan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga merupakan faktor yang membawa kepada kesesakan jalan raya. Kebanyakan pengusaha pengangkutan awam tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna. Contohnya, bas tidak mengikut jadual yang ditetapkan menyebabkan orang ramai terlewat sampai ke destinasi yang ditujui. Lebih mendukacitakan lagi, terdapat juga segelintir pemandu bas atau teksi yang tidak mengikut peraturan jalan raya seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan memotong di garisan berkembar. Sikap seumpama ini akan mengundang padah kepada pelanggannya bak kata pepatah, "Lain yang makan nangka, lain pula yang terkena getahnya". Selain itu, pengguna juga terpaksa berhimpit-himpit apabila menggunakan pengangkutan awam serta tidak mempunyai kemudahan yang lengkap. Hal ini menyebabkan pengguna berasa bimbang akan keselamatan mereka dan berasa tidak selesa semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Dengan itu, pengguna akan berasa lebih selamat dan selesa apabila mengggunakan kenderaan sendiri sehingga menyumbang kepada kesesakan jalan raya.
Konklusinya, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya. Jika satu pihak sahaja yang bertindak tidak akan mendatangkan hasil kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing perlulah diamalkan oleh semua pihak agar perkara yang sukar akan menjadi mudah.
Hasil kerja
Pelajar-pelajar 5Smart A 2011