Ahad, 17 April 2011

KARANGAN CEMERLANG SPM (BAHAGIAN A)

Cara-cara Menjalani Kehidupan yang Sihat

Mafhum daripada sepotong hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud "Jagalah masa sihatmu sebelum masa sakit".  Hadith ini jelas menggambarkan betapa pentingnya kesihatan dalam kehidupan.  kesihatan merupakan kurniaan Tuhan yang sangat bernilai.  Kesihatan yang baik membolehkan kita mengurus kehidupan dengan baik.  Persoalannya, adakah kita sedar tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan?  Justeru, kita perlu mencari wasilah dan ikhtiar untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.

        Asas kepada kehidupan yang sihat bermula daripada pemakanan.  Oleh itu, untuk menjalani kehidupan yang sihat, pemakanan seimbang perlu diamalkan.  Pematuhan kepada piramid makanan amat digalakkan.  hal ini membawa maksud, lebihkan makan makanan seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan serta mengurangkan pemgambilan gula, lemak dan makanan ringan.  Sebaik-baiknya, makan di restoran atau kedai makan perlu dielakkan.  Hal ini kerana, kandungan yang terdapat dalam makanan tersebut tidak pasti asal-usulny.  berkemungkinan juga makanan tersebut datang daripada sumber yang kotor seterusnya meninggalkan impak yang tidak sihat kepada tubuh badan.

        Tubuh yang sihat juga mampu dizahirkan melalui aktiviti bersenam dan bersukan.  Aktiviti bersukan dan bersenam ini perlu dilakukan pada setiap petang. Namun, jika tuntutan kerja tidak membenarkan bersukan pada setiap petang, apalah salahnya bersenam empat kali dalam seminggu.  Janganlah kerja yang membukit dijadikan alasan.  Situasi ini bertepatan dengan peribahasa "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".  Selain itu, ahli keluarga boleh dijadikan nukleus untuk bersama-sama melakukan senaman.  Banyak jenis senaman yang boleh dilakukan termasuklah berlari, aerobik dan sebagainya.  Menanam pokok bunga merupakan senaman yang menyihatkan.  Jika berkesempatan, senaman boleh dilakukan di taman atau gimnasium.  Selain dapat menyihatkan tubuh badan, hubungan silaturahim turut dipererat bak ungkapan peribahasa "Sambil menyelam, minum air".

        Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan untuk menjamin kehidupan yang sihat.  "Meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu".  Oleh itu, doktor boleh dijadikan medium yang penting bagi mendapatkan tahap kesihatan semasa.  Dalam pada itu, kehadiran kita ke klinik atau hospital membolehkan kita menambah pengetahuan yang sedia ada.  Apa tidaknya, banyak maklumat boleh kita peroleh di hospital kerana terdapat papan-papan tanda yang bermaklumat dan berwarna-warni dihidangkan.  Justeru, mengapakah wujud sikap malas untuk bertemu doktor?  Berpeganglah kepada prinsip bukan senang untuk menjadi senang, bukan susah untuk menjadi susah.

        Kesimpulannya, kesihatan merupakan elemen terpenting dalam kehidupan.  Tanpa kesihatan yang baik, tidak mungkin tugasan seharian dapat diselesaikan dengan baik.  Jagalah kesihatan seperti menjaga kesihatan sendiri.  Hal ini kerana, tiada satu pun barang di dunia ini boleh menandingi nikmat kesihatan pemberian Tuhan.  Oleh hal yang demikian, jadilah insan yang sentiasa bersyukur atas kurniaan Tuhan ini kerana tanpa kesihatan, maka tempanglah kehidupan.


Jumaat, 8 April 2011

Amalan Gaya Hidup Sihat

Dalam era yang menongkah arus pemodenan ini sering kali kita dikejutkan dengan berita yang menyedihkan yakni berita yang berkaitan dengan masalah kesihatan.  Sebagai tamsilan, penyakit diabetes, sakit jantung, kanser dan sebagainya.  Oleh itu, kita mestilah mengetahui cara-cara menjalani kehidupan yang sihat agar diri kita terhindar daripada masalah kesihatan tersebut supaya nasi tidak menjadi bubur.

        Pertama sekali, kita perlu mengamalkan aktiviti bersenam dan bersukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.  Contohnya berjoging, bermain bola sepak dan seumpamanya.  Hal ini penting untuk menjamin badan kita sentiasa sihat dan cergas sepanjang masa.  Sekiranya aktiviti seumpama ini tidak diamalkan, badan kita akan mudah dijangkiti penyakit berbahaya.  Fungsi otak untuk memproses maklumat akan terganggu dan gagal menyimpannya di kotak ingatan dengan sempurna.  Justeru aktiviti kecergasan memberi banyak faedah kepada kita bertepatan dengan slogan "badan sihat, otak cerdas".

         Di samping itu, pengambilan makanan seimbang perlu kita amalkan agar berat badan kita sentiasa ideal dan risiko dihinggapi penyakit akan berkurangan.  Misalnya, kita perlulah melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian.  Seandainya jumlah kalori dalam badan tidak seimbang masalah kesihatan akan berlaku seperti masalah obesiti akibat pengambilan lemak yang berlebihan.  Oleh itu, setiap individu perlulah peka terhadap pemakanan mereka setiap hari agar tidak menyesal pada kemudian hari kerana "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna".

         Seterusnya, pemeriksaan kesihatan perlu juga dilakukan sebagai amalan gaya hidup sihat.  Setiap individu harus menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi mengetahui tahap kesihatan pada satu-satu masa.  Contohnya, pemeriksaan kadar denyutan jantung, tekanan darah dan sebagainya.  Oleh hal yang demikian, kita akan dapat mengesan penyakit yang kita hidapi dengan lebih awal.  Dengan itu, kita tidak akan bersusah payah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli ubat-ubatan kerana "mencegah lebih baik daripada mengubati".

          Selain itu, pengamal gaya hidup sihat juga amat mementingkan tidur dan rehat yang secukupnya.  Perkara ini sangat penting kerana kita akan kembali bertenaga untuk melaksanakan tugasan harian dengan sempurna.  Tidur yang mencukupi bagi seseorang ialah selama lapan jam sehari.  Sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan tidur yang mencukupi akan menyebabkan produktiviti mereka menurun malah proses biologi dalam badan turut terganggu.  Pendek kata, tidur dan rehat yang cukup menjamin kehidupan yang sihat sejahtera. 

         Konklusinya, individu yang prihatin terhadap kesihatan mereka akan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan ini perlu dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia agar generasi hari ini sentiasa bertenaga untuk menyumbang kepada pembangunan negara.



Hasil Karangan oleh,
Nimrod Robert
Kelas 5Smart A Sains 2011

Isnin, 4 April 2011

KEPENTINGAN SUNGAI

Pendahuluan
Sungai merupakan anugerah Tuhan yang sangat berguna kepada makhluk yang hidup melata di muka bumi ini (T).   Keindahan dan kebersihannya semakin hilang daripada pandangan kerana dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab (I).  Masyarakat seharusnya menyedari bahawa sungai-sungai yang terdapat di negara ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri (K).

Huraian Isi
Antara kepentingan sungai adalah sebagai sumber air bukan sahaja kepada manusia malah haiwan liar (AT).  Sungai diperlukan oleh penduduk yang tinggal berhampiran dengannya untuk menjalankan rutin harian seperti mencuci, memasak dan mandi (AH1).  Bekalan air sungai yang bersih juga dijadikan sebagai minuman kepada penduduk setempat dan juga haiwan (AH2).  Oleh itu, kebersihan sungai perlu dijaga bagi menjamin sumber air yang bersih kepada mereka (AP

Penutup
Tuntasnya, sungai banyak menyumbang kepada kehidupan manusia (R).  Tanggungjawab mengekalkan kelestarian sungai di negara ini bukan hanya terletak pada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia tetapi semua pihak perlu saling membahu antara satu sama lain (C).  Sekiranya masyarakat bertindak bagai aur dengan tebing nescaya Kempen 1N,1S (Satu Negeri, Satu Sungai) akan mencapai matlamatnya dan kehidupan manusia akan lebih sejahtera (H).