Isnin, 21 Mac 2011

Contoh Karangan Lengkap Punca-punca Pencemaran Udara

Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya merosot (T).  Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) telah menunjukkan bahawa kualiti udara di negeri Selangor pada tahun 2000 bukan sahaja berada pada tahap tidak sihat tetapi juga sangat tidak sihat sepanjang tahun tersebut (I).  Justeru, punca-punca pencemaran udara ini harus dikenal pasti bagi memudahkan kita untuk menanganinya agar tidak berleluasa (K).

      Salah satu punca yang menyebabkan udara tercemar ialah bencana alam (AT).  Bencana alam merupakan fenomena semulajadi yang mengakibatkan kemusnahan alam seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan akibat kemarau yang berpanjangan (AH1).  Contohnya, letusan Gunung Berapi Pinatubo, Filifina telah membebaskan debu yang berlebihan ke angkasa sehingga menyebabkan jerebu yang sangat teruk di negara-negara yang berhampiran (AH2).  Dengan itu, bencana alam juga merupakan faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara kita (AP).
    
      Pelepasan asap kenderaan juga banyak menyumbang kepada pencemaran udara ini (AT).  Pertambahan kenderaan yang bergerak di jalan raya telah menyebabkan asap yang dilepaskan ke udara melalui ekzos kereta juga turut bertambah (AH1).  Sekiranya kenderaan yang digunakan tidak diselenggara dengan baik, kenderaan tersebut akan mengeluarkan asap yang berlebihan (AH2).  Justeru, asap yang mengandungi gas-gas beracun seperti karbon monoksida telah mencemarkan kebersihan udara keseluruhannya (AP)

      Selain itu, udara juga tercemar kerana aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman (AT).  Lazimnya, penduduk yang tinggal di kawasan ini meneroka hutan untuk tujuan petempatan dan pertanian (AH1).  Mereka menebang hutan kemudian membakarnya untuk mempercepat urusan pembersihan di samping menyuburkan tanah tersebut untuk bercucuk tanam (AH2).  Oleh hal yang demikian, aktiviti pembakaran hutan yang dilakukan dengan tidak terkawal akhirnya akan mencemarkan udara di kawasan yang berhampiran (AP).

      Faktor seterusnya ialah pembakaran sampah secara besar-besaran di kawasan terbuka (AT).  Sampah-sarap yang dibuang oleh masyarakat di negara ini sangat banyak sehingga berjuta-juta tan sehari apabila dikumpulkan di loji pelupusan sampah (AH1).  Sampah ini terpaksa dilupuskan menerusi aktiviti pembakaran pada setiap hari bagi mengelakkannya daripada bertambah banyak (AH2).  Justeru, udara akan semakin tercemar kerana tidak ada alternatif lain untuk melupuskan sampah-sarap yang bertimbun selain membakarnya (AP).
   
      Tuntasnya, kemerosotan kualiti udara di negara kita sebenarnya di sebabkan oleh kealpaan masyarakat di negara ini dalam mengejar arus pemodenan (R).  Semua pihak haruslah berganding bahu bagi menyelesaikan permasalahan ini agar kesan buruk tidak berlaku (C).  “Sebelum nasi menjadi bubur”, langkah-langkah pencegahan perlulah diambil dengan segera kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” (H).

Nota Penerangan.
1. Perenggan Pendahuluan (Teknik TIK)
T = Tema
I = Isu yang berkaitan dengan tema
K = Kehendak soalan ( menyatakan tugasan yang akan dibincangkan dalam karangan)

2. Perenggan Isi

AT = Ayat Topik (Ayat ini berperanan untuk menyatakan isi jawapan)
AH1 = Ayat Huraian Pertama (berperanan untuk menghuraikan AT)
AH2 = Ayat Huraian Kedua (berperanan untuk menjelaskan lebih lanjut dengan mengemukakan contoh, kesan, statistik, atau pendapat yang berkaitan dengan AT)
AP = Ayat Penyimpul (berperanan untuk menegaskan semula AT tetapi dalam bentuk pernyataan yang lain)

*AH boleh ditambah sekiranya perlu penambahan dalam bahagian huraian. Oleh itu, akan muncul AH3, AH4 dan seterusnya tetapi pastikan jumlah ayat adalah seimbang bagi seluruh perenggan isi.

3.  Perenggan Penutup
R = Rumusan secara keseluruhan perbincangan
C = Cadangan terhadap isu
H = Harapan (kesan daripada cadangan)

*Jangan lupa gunakan penanda wacana yang betul bagi menghubungkan perengan.  Aspek kohesi dan koheren perlu diambil kira dalam menulis karangan.

Usaha Memupuk Semangat Kejiranan

Sedarkah anda semangat kejiranan semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kini. Kita dapat melihat ini berlaku terutamanya penduduk di bandar. Masyarakat bersikap "Seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing" kerana mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding semangat kejiranan. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat ini dalam kalangan masyarakat Malaysia harus dilaksanakan dengan segera.

      Amalan bergotong-royong antara langkah yang dapat diambil bagi menyemarakkan semangat kejiranan ini. Penduduk setempat perlu bekerjasama dalam membersihkan kawasan kediaman. Pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Segala pekerjaan yang dilakukan tidak kira yang sukar dan yang ringan akan lebih mudah dilakukan dan cepat diselesaikan. Ini secara tidak lansung dapat memupuk semangat perpaduan di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang bersih dan mendamaikan.

      Selain itu, amalan ziarah–menziarahi juga dapat dijadikan alat untuk menjalin semangat kejiranan. Sekiranya jiran kita mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan, penduduk di sesebuah kawasan perumahan boleh datang berkunjung dan meramaikannya. Ini dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bertanyakan khabar dan berbual-bual mesra serta bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Seandainya keadaan ini berlaku, semangat kejiranan akan lebih mudah untuk disemai kerana mereka saling mengenali dan memahami bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

      Amalan rumah terbuka juga mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Rumah terbuka lazimnya diadakan pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, dan Hari Krismas. Jiran-jiran yang berhampiran boleh membantu dalam membuat persediaan. Dengan ini, permuafakatan dapat dibentuk kerana penduduk kampung itu beramah-mesra dengan makan bersama-sama tidak kira bangsa atau pun agama kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

      Kesimpulannya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari kepentingannya. Slogan “Jiran Sepakat Membawa Berkat” haruslah dipraktikkan dalam diri masing-masing. Seandainya diamalkan, barulah masyarakat setempat dapat hidup dengan aman dan harmoni.


Hasil Karangan oleh
SANDRA THOMAS
5 Smart A Sains 2011

Ahad, 20 Mac 2011

FORUM REMAJA




Forum merupakan satu medan yang membincangkan sesuatu topik.  Aktiviti ini melibatkan seorang pengantara atau dikenali juga sebagai pengerusi dan beberapa orang ahli panel.  Setiap ahli panel berperanan untuk menjawab sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pengerusi forum.  Kalau dilihat dari sudut penulisan pula, forum merupakan karangan yang mempunyai format seperti wawancara.  Penggunaan ungkapan-ungkapan menarik seperti peribahasa, cogan kata, pantun, frasa-frasa menarik sangat dituntut agar persembahan atau pengolahannya lebih menarik dan berkesan.  Lazimnya pengerusi akan menyatakan definisi terhadap topik perbincangan terlebih dahulu sebelum menanyakan soalan kepada ahli panel.  Fokus perbincangan lebih kepada punca, kesan dan langkah menangani sesuatu permasalahan yang dibincangkan.  Justeru, berdasarkan mukadimah forum yang telah anda tonton di atas, sila bincangkan dengan lebih lanjut topik yang dikemukakan iaitu "Alam sekitar anugerah Tuhan yang dicemar".

Jumaat, 18 Mac 2011

PUNCA PENCEMARAN UDARA

Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya tercemar. Tahukah anda bahawa Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) di kawasan bandar berada pada tahap sangat tidak sihat? Mengapakah keadaan ini berlaku? Adakah ia disebabkan oleh kegiatan manusia itu sendiri atau mungkin kerana ia merupakan salah satu kesan fenomena alam? Gambar-gambar di atas mungkin dapat membantu menghuraikan permasalahan ini.