Ahad, 25 September 2011

PUNCA-PUNCA KESESAKAN JALAN RAYA

      Pada masa kini, masalah kesesakan jalan raya sudah menjadi masalah yang sering menghantui pengguna jalan raya di Malaysia.  Pelbagai kempen telah dijalankan oleh pihak kerajaan namun usaha tersebut ibarat mencurahkan air ke daun keladi kerana formula untuk menyelesaikannya masih menemui jalan buntu.  Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini?  Wajarkah masyarakat menuding jari kepada pihak kerajaan semata-mata?  Seharusnya semua pihak perlu menyedari bahawa kesesakan jalan raya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak selama ini.

      Salah satu punca kesesakan jalan raya ialah keadaan jalan raya itu sendiri.  Kebanyakan jalan raya di negara ini sempit terutamanya jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri.  Keadaan ini menyebabkan jalan raya tidak dapat menampung kenderaan yang banyak pada satu-satu masa terutamanya pada musim perayaan.  Selain itu, aktiviti peyelenggaraan jalan raya turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya.  Kerja-kerja membaik pulih jalan raya yang rosak menyebabkan laluan kenderaan menjadi sempit sehingga kenderaan yang melalui kawasan tersebut terpaksa bergerak dengan perlahan-lahan.  Sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan tersebut tidak dipantau oleh pihak berkuasa dengan sebaiknya akan menyebabkan para pekerja akan bekerja seperti melepaskan batok di tangga.  Keadaan ini mengakibatkan kerja-kerja penyelenggaraan memakan masa yang agak panjang hingga akhirnya masalah kesesakan jalan raya tidak dapat diselesaikan dengan segera.

      Di samping itu, pertumbuhan industri automobil yang pesat turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya.  Di Malaysia, pertumbuhan industri ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain dalam bidang pengeluaran kenderaan.  Tambahan pula, harga kereta buatan Malaysia yang ditawarkan amat berpatutan dan berkualiti tinggi menjadikan rakyat Malaysia alah membeli, menang memakai.  Antara kereta buatan Malaysia yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran ialah Perodua Kancil, Myvi, Viva, dan Proton Wira.  Pertumbuhan industri automobil yang pesat dengan harga yang berpatutan menyebabkan rakyat Malaysia berlumba-lumba untuk membeli kenderaan buata Malaysia.  Hal ini mengakibatkan bilangan kenderaan semakin bertambah di jalan raya sekaligus menyebabkan kesesakan lalu lintas.

      Kelembapan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga merupakan faktor yang membawa kepada kesesakan jalan raya.   Kebanyakan pengusaha pengangkutan awam tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna.  Contohnya, bas tidak mengikut jadual yang ditetapkan menyebabkan orang ramai terlewat sampai ke destinasi yang ditujui.  Lebih mendukacitakan lagi, terdapat juga segelintir pemandu bas atau teksi yang tidak mengikut peraturan jalan raya seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan memotong di garisan berkembar.  Sikap seumpama ini akan mengundang padah kepada pelanggannya bak kata pepatah, "Lain yang makan nangka, lain pula yang terkena getahnya".  Selain itu, pengguna juga terpaksa berhimpit-himpit apabila menggunakan pengangkutan awam serta tidak mempunyai kemudahan yang lengkap.  Hal ini menyebabkan pengguna berasa bimbang akan keselamatan mereka dan berasa tidak selesa semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.  Dengan itu, pengguna akan berasa lebih selamat dan selesa apabila mengggunakan kenderaan sendiri sehingga menyumbang kepada kesesakan jalan raya.

      Konklusinya, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.  Jika satu pihak sahaja yang bertindak tidak akan mendatangkan hasil kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.  Pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing perlulah diamalkan oleh semua pihak agar perkara yang sukar akan menjadi mudah.

Hasil kerja 
Pelajar-pelajar 5Smart A 2011 

Khamis, 22 September 2011

SUMBANGAN-SUMBANGAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Gambar di bawah menunjukkan peranan belia pada masa kini.  Huraikan pendapat anda tentang sumbangan-sumbangan belia dalam pembangunan negara.  Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

SAMPEL KARANGAN

      Dasar Pembangunan Belia Negara menakrifkan belia ialah orang yang berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun.  Statistik kependudukan menunjukkan bahawa jumlah belia kini ialah 14.9 juta daripada 33.3 juta penduduk di Malaysia.  Data ini membuktikan bahawa golongan belia merupakan penduduk majoriti yang menjadi aset negara untuk menggalas cabaran yang bakal dipikul oleh negara pada masa akan datang.  Oleh itu, sumbangan belia amat diperlukan dalam pembangunan negara demi merealisasikan wawasan nasional.
      Antara sumbangan belia dalam pembangunan negara adalah gigih dalam membuat kajian dan penyelidikan untuk kemajuan negara.  Belia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memudahkan penyertaan mereka dalam pembangunan nusa bangsa serta menghadapi cabaran globalisasi.  Kegigihan dalam membuat penyelidikan dengan mengaplikasikan ilmu-ilmu yang pernah dipelajari perlu untuk menghasilkan inovasi agar Malaysia mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain dari segi R&D (Research anda Development).  Dengan itu, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tersohor di dunia kerana keterlibatan belia dalam penyelidikan yang membuahkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
      Di samping itu, generasi kini juga perlu bersiap-siaga untuk menjaga keamanan negara.  Golongan belia digalakkan menyertai pasukan keselamatan sama ada terlibat secara langsung menjadi anggota keselamatan atau menjadi sukarelawan sahaja.  Sekiranya para belia melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti seumpama ini, mereka bukan sahaja menyumbang dalam menjaga kemerdekaan negara malah mereka dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti menagih dadah, gengsterisme, vandalisme dan mencuri.  Justeru, keselamatan negara akan terus terjamin kerana golongan belia sentiasa berada di barisan hadapan untuk mengelakkan daripada sejarah lama berulang kembali bak kata peribahasa, "pisang tidak berbuah dua kali."
      Bukan itu sahaja, golongan belia juga perlu sentiasa memelihara semangat bersatu padu antara kaum.  Mereka hendaklah menjalinkan hubungan baik antara kaum dengan mengamalkan sikap tolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain.  Belia juga harus bijak menilai kebenaran berita yang diperoleh kerana dikhuatiri terdapat dakyah daripada orang yang ingin menangguk di air yang keruh untuk memecahbelahkan kaum di negara ini.  Oleh hal yang demikian, perpaduan amat penting untuk dikekalkan oleh belia demi pembangunan negara yang berterusan dan rakyat hidup dengan tenang seperti air dalam terenang.
      Tuntasnya, golongan belia merupakan pewaris kemerdekaan dan penerus kemajuan negara pada masa hadapan.  Mereka perlu memajukan diri, bersikap proaktif dan bersatu tenaga dalam membangunkan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Tanggungjawab yang besar perlu dipikul oleh belia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang tersohor di seluruh dunia.

Rabu, 21 September 2011

KEPENTINGAN MEMELIHARA WARISAN NEGARA

      Warisan kebangsaan merupakan khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman seperti A-Famosa, Tugu Negara, bangunan stesen keratapi Kuala Lumpur dan Stadium Merdeka.  Sungguhpun begitu, generasi pada masa kini semakin memandang sepi terhadapnya kerana tahap kesedaran mereka terlalu rendah.  Sepatutnya, mereka harus menyedari bahawa warisan kebangsaan ini perlu dipelihara kerana ia mempunyai seribu satu makna di sebaliknya.

      Antara kepentingan memelihara warisan kebangsaan adalah menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun antarabangsa.  Pengekalan bahan-bahan tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri tentang keunikan ciptaan  masyarakat terdahulu.  Senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong di bandar warisan seperti Georgetown, Melaka dan Kota Bahru yang amat ketara dalam tempoh 1990 hingga 1997.  Ini bermakna, warisan kebangsaan merupakan salah satu penyebab utama industri pelancongan begitu rancak sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

      Warisan negara juga dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa generasi pada masa kini.  Semangat ini akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta.  Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk tatapan semua.  Justeru, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang dalam mempertahankan negara. Oleh itu, pemeliharaan warisan negara ini sangat penting untuk melahirkan generasi yang berjiwa patriotik dan cinta akan tanah air.

      Di samping itu, nilai seni dan estetika juga berupaya dikekalkan.  Bangunan-bangunan lama seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur mempunyai nilai seni yang tinggi dan tidak terdapat pada bangunan-bangunan sekarang.  Seni binanya sangat unik dan indah serta menggambarkan cita rasa arkitek pada ketika itu.  Oleh itu, bangunan-bangunan lama ini mungkin menjadi sumber inspirasi kepada arkitek baharu untuk membina bangunan-bangunan yang bukan sahaja indah malah mempunyai nilai seni yang sangat mengagumkan.

      Lebih penting lagi, usaha memelihara warisan negara ini dapat mengenang sejarah penting yang berlaku di negara kita.  Bangunan lama yang diberi nafas baru dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua.  Contohnya, Stadium Merdeka telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara.  Laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di stadium ini.  Sekiranya bangunan ini tidak dipelihara kemungkinan besar generasi muda akan melupakan sejarah-sejarah penting negara.

     Tuntasnya, masyarakat Malaysia perlu peka akan kepentingan pemeliharaan warisan kebangsaan.  Justeru, segala usaha perlu dipergiat untuk memastikan khazanah negara ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.  Boleh dikatakan bahawa pemeliharaan dan pengekalan warisan ini dapat mempertingkatkan imej dan identiti negara di persada dunia.

Ahad, 17 April 2011

KARANGAN CEMERLANG SPM (BAHAGIAN A)

Cara-cara Menjalani Kehidupan yang Sihat

Mafhum daripada sepotong hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud "Jagalah masa sihatmu sebelum masa sakit".  Hadith ini jelas menggambarkan betapa pentingnya kesihatan dalam kehidupan.  kesihatan merupakan kurniaan Tuhan yang sangat bernilai.  Kesihatan yang baik membolehkan kita mengurus kehidupan dengan baik.  Persoalannya, adakah kita sedar tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan?  Justeru, kita perlu mencari wasilah dan ikhtiar untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.

        Asas kepada kehidupan yang sihat bermula daripada pemakanan.  Oleh itu, untuk menjalani kehidupan yang sihat, pemakanan seimbang perlu diamalkan.  Pematuhan kepada piramid makanan amat digalakkan.  hal ini membawa maksud, lebihkan makan makanan seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan serta mengurangkan pemgambilan gula, lemak dan makanan ringan.  Sebaik-baiknya, makan di restoran atau kedai makan perlu dielakkan.  Hal ini kerana, kandungan yang terdapat dalam makanan tersebut tidak pasti asal-usulny.  berkemungkinan juga makanan tersebut datang daripada sumber yang kotor seterusnya meninggalkan impak yang tidak sihat kepada tubuh badan.

        Tubuh yang sihat juga mampu dizahirkan melalui aktiviti bersenam dan bersukan.  Aktiviti bersukan dan bersenam ini perlu dilakukan pada setiap petang. Namun, jika tuntutan kerja tidak membenarkan bersukan pada setiap petang, apalah salahnya bersenam empat kali dalam seminggu.  Janganlah kerja yang membukit dijadikan alasan.  Situasi ini bertepatan dengan peribahasa "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".  Selain itu, ahli keluarga boleh dijadikan nukleus untuk bersama-sama melakukan senaman.  Banyak jenis senaman yang boleh dilakukan termasuklah berlari, aerobik dan sebagainya.  Menanam pokok bunga merupakan senaman yang menyihatkan.  Jika berkesempatan, senaman boleh dilakukan di taman atau gimnasium.  Selain dapat menyihatkan tubuh badan, hubungan silaturahim turut dipererat bak ungkapan peribahasa "Sambil menyelam, minum air".

        Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan untuk menjamin kehidupan yang sihat.  "Meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu".  Oleh itu, doktor boleh dijadikan medium yang penting bagi mendapatkan tahap kesihatan semasa.  Dalam pada itu, kehadiran kita ke klinik atau hospital membolehkan kita menambah pengetahuan yang sedia ada.  Apa tidaknya, banyak maklumat boleh kita peroleh di hospital kerana terdapat papan-papan tanda yang bermaklumat dan berwarna-warni dihidangkan.  Justeru, mengapakah wujud sikap malas untuk bertemu doktor?  Berpeganglah kepada prinsip bukan senang untuk menjadi senang, bukan susah untuk menjadi susah.

        Kesimpulannya, kesihatan merupakan elemen terpenting dalam kehidupan.  Tanpa kesihatan yang baik, tidak mungkin tugasan seharian dapat diselesaikan dengan baik.  Jagalah kesihatan seperti menjaga kesihatan sendiri.  Hal ini kerana, tiada satu pun barang di dunia ini boleh menandingi nikmat kesihatan pemberian Tuhan.  Oleh hal yang demikian, jadilah insan yang sentiasa bersyukur atas kurniaan Tuhan ini kerana tanpa kesihatan, maka tempanglah kehidupan.


Jumaat, 8 April 2011

Amalan Gaya Hidup Sihat

Dalam era yang menongkah arus pemodenan ini sering kali kita dikejutkan dengan berita yang menyedihkan yakni berita yang berkaitan dengan masalah kesihatan.  Sebagai tamsilan, penyakit diabetes, sakit jantung, kanser dan sebagainya.  Oleh itu, kita mestilah mengetahui cara-cara menjalani kehidupan yang sihat agar diri kita terhindar daripada masalah kesihatan tersebut supaya nasi tidak menjadi bubur.

        Pertama sekali, kita perlu mengamalkan aktiviti bersenam dan bersukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.  Contohnya berjoging, bermain bola sepak dan seumpamanya.  Hal ini penting untuk menjamin badan kita sentiasa sihat dan cergas sepanjang masa.  Sekiranya aktiviti seumpama ini tidak diamalkan, badan kita akan mudah dijangkiti penyakit berbahaya.  Fungsi otak untuk memproses maklumat akan terganggu dan gagal menyimpannya di kotak ingatan dengan sempurna.  Justeru aktiviti kecergasan memberi banyak faedah kepada kita bertepatan dengan slogan "badan sihat, otak cerdas".

         Di samping itu, pengambilan makanan seimbang perlu kita amalkan agar berat badan kita sentiasa ideal dan risiko dihinggapi penyakit akan berkurangan.  Misalnya, kita perlulah melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian.  Seandainya jumlah kalori dalam badan tidak seimbang masalah kesihatan akan berlaku seperti masalah obesiti akibat pengambilan lemak yang berlebihan.  Oleh itu, setiap individu perlulah peka terhadap pemakanan mereka setiap hari agar tidak menyesal pada kemudian hari kerana "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna".

         Seterusnya, pemeriksaan kesihatan perlu juga dilakukan sebagai amalan gaya hidup sihat.  Setiap individu harus menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi mengetahui tahap kesihatan pada satu-satu masa.  Contohnya, pemeriksaan kadar denyutan jantung, tekanan darah dan sebagainya.  Oleh hal yang demikian, kita akan dapat mengesan penyakit yang kita hidapi dengan lebih awal.  Dengan itu, kita tidak akan bersusah payah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli ubat-ubatan kerana "mencegah lebih baik daripada mengubati".

          Selain itu, pengamal gaya hidup sihat juga amat mementingkan tidur dan rehat yang secukupnya.  Perkara ini sangat penting kerana kita akan kembali bertenaga untuk melaksanakan tugasan harian dengan sempurna.  Tidur yang mencukupi bagi seseorang ialah selama lapan jam sehari.  Sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan tidur yang mencukupi akan menyebabkan produktiviti mereka menurun malah proses biologi dalam badan turut terganggu.  Pendek kata, tidur dan rehat yang cukup menjamin kehidupan yang sihat sejahtera. 

         Konklusinya, individu yang prihatin terhadap kesihatan mereka akan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan ini perlu dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia agar generasi hari ini sentiasa bertenaga untuk menyumbang kepada pembangunan negara.



Hasil Karangan oleh,
Nimrod Robert
Kelas 5Smart A Sains 2011

Isnin, 4 April 2011

KEPENTINGAN SUNGAI

Pendahuluan
Sungai merupakan anugerah Tuhan yang sangat berguna kepada makhluk yang hidup melata di muka bumi ini (T).   Keindahan dan kebersihannya semakin hilang daripada pandangan kerana dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab (I).  Masyarakat seharusnya menyedari bahawa sungai-sungai yang terdapat di negara ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri (K).

Huraian Isi
Antara kepentingan sungai adalah sebagai sumber air bukan sahaja kepada manusia malah haiwan liar (AT).  Sungai diperlukan oleh penduduk yang tinggal berhampiran dengannya untuk menjalankan rutin harian seperti mencuci, memasak dan mandi (AH1).  Bekalan air sungai yang bersih juga dijadikan sebagai minuman kepada penduduk setempat dan juga haiwan (AH2).  Oleh itu, kebersihan sungai perlu dijaga bagi menjamin sumber air yang bersih kepada mereka (AP

Penutup
Tuntasnya, sungai banyak menyumbang kepada kehidupan manusia (R).  Tanggungjawab mengekalkan kelestarian sungai di negara ini bukan hanya terletak pada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia tetapi semua pihak perlu saling membahu antara satu sama lain (C).  Sekiranya masyarakat bertindak bagai aur dengan tebing nescaya Kempen 1N,1S (Satu Negeri, Satu Sungai) akan mencapai matlamatnya dan kehidupan manusia akan lebih sejahtera (H).
 

Isnin, 21 Mac 2011

Contoh Karangan Lengkap Punca-punca Pencemaran Udara

Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya merosot (T).  Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) telah menunjukkan bahawa kualiti udara di negeri Selangor pada tahun 2000 bukan sahaja berada pada tahap tidak sihat tetapi juga sangat tidak sihat sepanjang tahun tersebut (I).  Justeru, punca-punca pencemaran udara ini harus dikenal pasti bagi memudahkan kita untuk menanganinya agar tidak berleluasa (K).

      Salah satu punca yang menyebabkan udara tercemar ialah bencana alam (AT).  Bencana alam merupakan fenomena semulajadi yang mengakibatkan kemusnahan alam seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan akibat kemarau yang berpanjangan (AH1).  Contohnya, letusan Gunung Berapi Pinatubo, Filifina telah membebaskan debu yang berlebihan ke angkasa sehingga menyebabkan jerebu yang sangat teruk di negara-negara yang berhampiran (AH2).  Dengan itu, bencana alam juga merupakan faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara kita (AP).
    
      Pelepasan asap kenderaan juga banyak menyumbang kepada pencemaran udara ini (AT).  Pertambahan kenderaan yang bergerak di jalan raya telah menyebabkan asap yang dilepaskan ke udara melalui ekzos kereta juga turut bertambah (AH1).  Sekiranya kenderaan yang digunakan tidak diselenggara dengan baik, kenderaan tersebut akan mengeluarkan asap yang berlebihan (AH2).  Justeru, asap yang mengandungi gas-gas beracun seperti karbon monoksida telah mencemarkan kebersihan udara keseluruhannya (AP)

      Selain itu, udara juga tercemar kerana aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman (AT).  Lazimnya, penduduk yang tinggal di kawasan ini meneroka hutan untuk tujuan petempatan dan pertanian (AH1).  Mereka menebang hutan kemudian membakarnya untuk mempercepat urusan pembersihan di samping menyuburkan tanah tersebut untuk bercucuk tanam (AH2).  Oleh hal yang demikian, aktiviti pembakaran hutan yang dilakukan dengan tidak terkawal akhirnya akan mencemarkan udara di kawasan yang berhampiran (AP).

      Faktor seterusnya ialah pembakaran sampah secara besar-besaran di kawasan terbuka (AT).  Sampah-sarap yang dibuang oleh masyarakat di negara ini sangat banyak sehingga berjuta-juta tan sehari apabila dikumpulkan di loji pelupusan sampah (AH1).  Sampah ini terpaksa dilupuskan menerusi aktiviti pembakaran pada setiap hari bagi mengelakkannya daripada bertambah banyak (AH2).  Justeru, udara akan semakin tercemar kerana tidak ada alternatif lain untuk melupuskan sampah-sarap yang bertimbun selain membakarnya (AP).
   
      Tuntasnya, kemerosotan kualiti udara di negara kita sebenarnya di sebabkan oleh kealpaan masyarakat di negara ini dalam mengejar arus pemodenan (R).  Semua pihak haruslah berganding bahu bagi menyelesaikan permasalahan ini agar kesan buruk tidak berlaku (C).  “Sebelum nasi menjadi bubur”, langkah-langkah pencegahan perlulah diambil dengan segera kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” (H).

Nota Penerangan.
1. Perenggan Pendahuluan (Teknik TIK)
T = Tema
I = Isu yang berkaitan dengan tema
K = Kehendak soalan ( menyatakan tugasan yang akan dibincangkan dalam karangan)

2. Perenggan Isi

AT = Ayat Topik (Ayat ini berperanan untuk menyatakan isi jawapan)
AH1 = Ayat Huraian Pertama (berperanan untuk menghuraikan AT)
AH2 = Ayat Huraian Kedua (berperanan untuk menjelaskan lebih lanjut dengan mengemukakan contoh, kesan, statistik, atau pendapat yang berkaitan dengan AT)
AP = Ayat Penyimpul (berperanan untuk menegaskan semula AT tetapi dalam bentuk pernyataan yang lain)

*AH boleh ditambah sekiranya perlu penambahan dalam bahagian huraian. Oleh itu, akan muncul AH3, AH4 dan seterusnya tetapi pastikan jumlah ayat adalah seimbang bagi seluruh perenggan isi.

3.  Perenggan Penutup
R = Rumusan secara keseluruhan perbincangan
C = Cadangan terhadap isu
H = Harapan (kesan daripada cadangan)

*Jangan lupa gunakan penanda wacana yang betul bagi menghubungkan perengan.  Aspek kohesi dan koheren perlu diambil kira dalam menulis karangan.

Usaha Memupuk Semangat Kejiranan

Sedarkah anda semangat kejiranan semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kini. Kita dapat melihat ini berlaku terutamanya penduduk di bandar. Masyarakat bersikap "Seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing" kerana mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding semangat kejiranan. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat ini dalam kalangan masyarakat Malaysia harus dilaksanakan dengan segera.

      Amalan bergotong-royong antara langkah yang dapat diambil bagi menyemarakkan semangat kejiranan ini. Penduduk setempat perlu bekerjasama dalam membersihkan kawasan kediaman. Pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Segala pekerjaan yang dilakukan tidak kira yang sukar dan yang ringan akan lebih mudah dilakukan dan cepat diselesaikan. Ini secara tidak lansung dapat memupuk semangat perpaduan di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang bersih dan mendamaikan.

      Selain itu, amalan ziarah–menziarahi juga dapat dijadikan alat untuk menjalin semangat kejiranan. Sekiranya jiran kita mengadakan kenduri atau majlis perkahwinan, penduduk di sesebuah kawasan perumahan boleh datang berkunjung dan meramaikannya. Ini dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bertanyakan khabar dan berbual-bual mesra serta bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain. Seandainya keadaan ini berlaku, semangat kejiranan akan lebih mudah untuk disemai kerana mereka saling mengenali dan memahami bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

      Amalan rumah terbuka juga mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Rumah terbuka lazimnya diadakan pada hari-hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, dan Hari Krismas. Jiran-jiran yang berhampiran boleh membantu dalam membuat persediaan. Dengan ini, permuafakatan dapat dibentuk kerana penduduk kampung itu beramah-mesra dengan makan bersama-sama tidak kira bangsa atau pun agama kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

      Kesimpulannya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari kepentingannya. Slogan “Jiran Sepakat Membawa Berkat” haruslah dipraktikkan dalam diri masing-masing. Seandainya diamalkan, barulah masyarakat setempat dapat hidup dengan aman dan harmoni.


Hasil Karangan oleh
SANDRA THOMAS
5 Smart A Sains 2011

Ahad, 20 Mac 2011

FORUM REMAJA




Forum merupakan satu medan yang membincangkan sesuatu topik.  Aktiviti ini melibatkan seorang pengantara atau dikenali juga sebagai pengerusi dan beberapa orang ahli panel.  Setiap ahli panel berperanan untuk menjawab sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh pengerusi forum.  Kalau dilihat dari sudut penulisan pula, forum merupakan karangan yang mempunyai format seperti wawancara.  Penggunaan ungkapan-ungkapan menarik seperti peribahasa, cogan kata, pantun, frasa-frasa menarik sangat dituntut agar persembahan atau pengolahannya lebih menarik dan berkesan.  Lazimnya pengerusi akan menyatakan definisi terhadap topik perbincangan terlebih dahulu sebelum menanyakan soalan kepada ahli panel.  Fokus perbincangan lebih kepada punca, kesan dan langkah menangani sesuatu permasalahan yang dibincangkan.  Justeru, berdasarkan mukadimah forum yang telah anda tonton di atas, sila bincangkan dengan lebih lanjut topik yang dikemukakan iaitu "Alam sekitar anugerah Tuhan yang dicemar".

Jumaat, 18 Mac 2011

PUNCA PENCEMARAN UDARA

Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya tercemar. Tahukah anda bahawa Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) di kawasan bandar berada pada tahap sangat tidak sihat? Mengapakah keadaan ini berlaku? Adakah ia disebabkan oleh kegiatan manusia itu sendiri atau mungkin kerana ia merupakan salah satu kesan fenomena alam? Gambar-gambar di atas mungkin dapat membantu menghuraikan permasalahan ini.