Ahad, 17 April 2011

KARANGAN CEMERLANG SPM (BAHAGIAN A)

Cara-cara Menjalani Kehidupan yang Sihat

Mafhum daripada sepotong hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud "Jagalah masa sihatmu sebelum masa sakit".  Hadith ini jelas menggambarkan betapa pentingnya kesihatan dalam kehidupan.  kesihatan merupakan kurniaan Tuhan yang sangat bernilai.  Kesihatan yang baik membolehkan kita mengurus kehidupan dengan baik.  Persoalannya, adakah kita sedar tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan?  Justeru, kita perlu mencari wasilah dan ikhtiar untuk terus hidup dalam keadaan sihat dan sejahtera.

        Asas kepada kehidupan yang sihat bermula daripada pemakanan.  Oleh itu, untuk menjalani kehidupan yang sihat, pemakanan seimbang perlu diamalkan.  Pematuhan kepada piramid makanan amat digalakkan.  hal ini membawa maksud, lebihkan makan makanan seperti bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan serta mengurangkan pemgambilan gula, lemak dan makanan ringan.  Sebaik-baiknya, makan di restoran atau kedai makan perlu dielakkan.  Hal ini kerana, kandungan yang terdapat dalam makanan tersebut tidak pasti asal-usulny.  berkemungkinan juga makanan tersebut datang daripada sumber yang kotor seterusnya meninggalkan impak yang tidak sihat kepada tubuh badan.

        Tubuh yang sihat juga mampu dizahirkan melalui aktiviti bersenam dan bersukan.  Aktiviti bersukan dan bersenam ini perlu dilakukan pada setiap petang. Namun, jika tuntutan kerja tidak membenarkan bersukan pada setiap petang, apalah salahnya bersenam empat kali dalam seminggu.  Janganlah kerja yang membukit dijadikan alasan.  Situasi ini bertepatan dengan peribahasa "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".  Selain itu, ahli keluarga boleh dijadikan nukleus untuk bersama-sama melakukan senaman.  Banyak jenis senaman yang boleh dilakukan termasuklah berlari, aerobik dan sebagainya.  Menanam pokok bunga merupakan senaman yang menyihatkan.  Jika berkesempatan, senaman boleh dilakukan di taman atau gimnasium.  Selain dapat menyihatkan tubuh badan, hubungan silaturahim turut dipererat bak ungkapan peribahasa "Sambil menyelam, minum air".

        Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan untuk menjamin kehidupan yang sihat.  "Meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu".  Oleh itu, doktor boleh dijadikan medium yang penting bagi mendapatkan tahap kesihatan semasa.  Dalam pada itu, kehadiran kita ke klinik atau hospital membolehkan kita menambah pengetahuan yang sedia ada.  Apa tidaknya, banyak maklumat boleh kita peroleh di hospital kerana terdapat papan-papan tanda yang bermaklumat dan berwarna-warni dihidangkan.  Justeru, mengapakah wujud sikap malas untuk bertemu doktor?  Berpeganglah kepada prinsip bukan senang untuk menjadi senang, bukan susah untuk menjadi susah.

        Kesimpulannya, kesihatan merupakan elemen terpenting dalam kehidupan.  Tanpa kesihatan yang baik, tidak mungkin tugasan seharian dapat diselesaikan dengan baik.  Jagalah kesihatan seperti menjaga kesihatan sendiri.  Hal ini kerana, tiada satu pun barang di dunia ini boleh menandingi nikmat kesihatan pemberian Tuhan.  Oleh hal yang demikian, jadilah insan yang sentiasa bersyukur atas kurniaan Tuhan ini kerana tanpa kesihatan, maka tempanglah kehidupan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komentar anda.