Selasa, 26 Julai 2016

Anda ingin mengemukakan pendapat tentang usaha-usaha untuk menangani kenaikan harga barang akhir-akhir ini dalam ruangan Forum Pembaca akhbar tempatan.  Tulis sepucuk surat kepada editor ruangan forum tersebut selengkapnya.

Dg. Ariana Rania Binti Sulaiman,
Kg. Buang Sayang, Jalan SMK. Pengiran Omar,
89857 Sipitang,
SABAH.
________________________________________________________________________

Editor,
Ruangan Forum Pembaca, Akhbar Utusan Malaysia,
46, Jalan Sungai Besi,
50750 KUALA LUMPUR.                                                                    26 JULAI 2016.

Tuan,


Usaha-usaha untuk Menangani Kenaikan Harga Barang


Sejak akhir-akhir ini, masyarakat di negara ini sering mengadu tentang kenaikan harga barang yang semakin menghimpit kehidupan mereka (TEMA).  Kenaikan harga barang ini terjadi akibat kenaikan kos operasi sesebuah perniagaan di samping sikap peniaga yang mengambil kesempatan berikutan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan oleh kerajaan (ISU).  Malah, keadaan ini  semakin menjadi-jadi selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak April tahun 2015 (ISU).   Oleh itu, pelbagai langkah drastik dan proaktif perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini demi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat di negara ini (KEHENDAK SOALAN).


2.       Pada pendapat saya, antara prakarsa yang perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut kenaikan harga barang dewasa ini adalah dengan pemantauan secara berterusan (AYAT TOPIK).  Hal ini dikatakan demikian kerana pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat mengenal pasti peniaga yang menaikkan harga barangan secara sewenang-wenangnya (AYAT HURAIAN).  Di samping itu, KPDNKK yang menjalankan operasi penguatkuasaan di setiap premis perniagaan mampu memberi peringatan dan pengajaran kepada peniaga yang ingin meraih keuntungan yang tidak munasabah (AYAT SOKONGAN).  Sebagai contoh, melalui operasi yang dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDNKK Pahang,  seorang peniaga iaitu A.Selvakumar yang berusia 32 tahun telah didakwa dan didenda RM8000 oleh mahkamah kerana  menaikkan harga dua barang jualan iaitu bahan pencuci Biozip 2.5 kg dari RM9.90 menjadi RM10.60 dan Downy Sunrise Fresh 900ml dari RM10.30 menjadi RM11.24 (AYAT CONTOH).  Jelaslah bahawa pihak berkuasa yang kerap turun padang untuk memantau kegiatan jual beli di pasaran dapat mengekang kegiatan tidak bertanggungjawab peniaga yang menaikkan harga barangan jualan mereka (AYAT PENEGAS).

3.       Selain itu, menggunakan hak pengguna juga dikenal pasti sebagai salah satu cara menangani kenaikan harga barang di pasaran.  Hal ini bermaksud pengguna wajar menggunakan hak mereka untuk memilih barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetetif justeru para pengguna patut memboikot peniaga yang menaikkan harga produk jualan mereka.  Lagipun, pengguna juga berhak menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sikap peniaga yang menjejaskan kepentingan mereka sebagai pengguna.  Malah, para pengguna juga perlu melaporkan segala salah laku peniaga  kepada Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP) KPDNKK sama ada melalui telefon, e-mel, surat atau datang sendiri ke pusat aduan tersebut.  Dalam hal ini, Datuk Seri Hassan Malek, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengatakan bahawa kerajaan mahu rakyat memainkan hak mereka sebagai pengguna dengan menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kenaikan harga barang yang berlaku di negara ini.  Dengan itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa salah satu langkah mengawal kenaikan harga barang adalah dengan menggunakan hak sebagai pengguna yang bijaksana.


4.       Usaha menangani kenaikan harga barang yang berikutnya adalah dengan menggunakan bahan bakar alternatif.  Dalam konteks ini, bahan bakar alternatif seperti biodiesel dapat menggantikan bahan bakar fosil yang banyak mempengaruhi kos operasi sesebuah perniagaan.  Tambahan pula, bahan bakar alternatif berupaya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap petrol dan diesel yang mahal harganya berbanding biodiesel.  Misalannya, bahan bakar alternatif seperti minyak egusi melon telah diuji dapat mengurangkan kos petrol sebanyak 20 peratus dan diesel sebanyak 10 peratus.  Bukan itu sahaja, Dasar Biobahan Api Negara telah menyarankan supaya penggunaan bahan api bio berasaskan kelapa sawit (B5) untuk pengangkutan dan perindustrian bagi mengurangkan kos bahan api fosil yang tidak menentu di pasaran dunia.  Saya optimis bahawa bahan api alternatif yang dihasilkan melalui minyak sayuran dan lemak haiwan yang menjalani proses kimia mampu mengecilkan kos pengeluaran sekali gus dapat mengawal kenaikan harga barang.


5.       Konklusinya, semua pihak haruslah berusaha dan bekerjasama bagi menangani isu kenaikan harga barang agar tidak terus membelenggu kehidupan masyarakat pada hari ini.  Pihak kerajaan, pengguna malah para pengeluar sendiri wajar memainkan peranan masing-masing untuk mengelakkan masalah ini berterusan tanpa kawalan.  Dalam hal ini, orang bijak pandai pernah berpesan bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya.  Setiap usaha yang dilakukan pula janganlah seperti melepaskan batuk di tangga tanpa kesungguhan sehingga ada peniaga yang tidak serik dengan menangguk di air yang keruh untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna yang tidak mempunyai banyak pilihan.


Saya berharap lontaran pandangan saya ini akan terpilih untuk disiarkan dalam ruangan Forum Pembaca akhbar pihak tuan.  Dengan itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas perhatian dan tindakan pihak tuan selanjutnya.  Sekian, terima kasih.


Yang benar,


RaniaSulaiman
(DAYANG ARIANA RANIA BT. SULAIMAN)