Khamis, 22 September 2011

SUMBANGAN-SUMBANGAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Gambar di bawah menunjukkan peranan belia pada masa kini.  Huraikan pendapat anda tentang sumbangan-sumbangan belia dalam pembangunan negara.  Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

SAMPEL KARANGAN

      Dasar Pembangunan Belia Negara menakrifkan bahawa belia ialah orang yang berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun.  Statistik kependudukan menunjukkan bahawa jumlah belia di Malaysia ialah 12.9 juta daripada 28 juta penduduk di Malaysia.  Ini membuktikan bahawa golongan belia merupakan penduduk majoriti yang menjadi aset negara untuk menggalas cabaran yang bakal dipikul oleh negara pada masa akan datang.  Justeru, sumbangan mereka amat diperlukan untuk merealisasikan wawasan negara.
      Antara sumbangan belia dalam pembangunan negara adalah gigih dalam membuat kajian dan penyelidikan untuk kemajuan negara.  Belia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memudahkan penyertaan mereka dalam pembangunan nusa bangsa serta menghadapi cabaran globalisasi.  Kegigihan dalam membuat penyelidikan dengan mengaplikasikan ilmu-ilmu yang pernah dipelajari perlu untuk menghasilkan inovasi agar Malaysia mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain dari segi R&D (Research anda Development).  Dengan itu, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang tersohor di dunia kerana keterlibatan belia dalam penyelidikan yang membuahkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
      Di samping itu, generasi masa kini juga perlu bersiap siaga untuk menjaga keamanan negara.  Golongan belia digalakkan menyertai pasukan keselamatan sama ada terlibat secara langsung menjadi anggota keselamatan atau menjadi sukarelawan sahaja.  Sekiranya para belia melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti seumpama ini, mereka bukan sahaja menyumbang dalam menjaga kemerdekaan negara malah mereka dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti menagih dadah, gengsterisme, vandalisme dan mencuri.  Justeru, keselamatan negara akan terus terjamin kerana golongan belia sentiasa berada di barisan hadapan untuk mengelakkan daripada sejarah lama berulang kembali bak kata peribahasa, "pisang tidak berbuah dua kali."
      Bukan itu sahaja, golongan belia juga perlu sentiasa memelihara semangat bersatu padu antara kaum.  Mereka hendaklah menjalinkan hubungan baik antara kaum dengan mengamalkan sikap tolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain.  Belia juga harus bijak menilai kebenaran berita yang diperoleh kerana dikhuatiri terdapat dakyah daripada orang yang ingin menangguk di air yang keruh untuk memecahbelahkan kaum di negara ini.  Oleh hal yang demikian, perpaduan amat penting untuk dikekalkan oleh belia demi pembangunan negara yang berterusan dan rakyat hidup dengan tenang seperti air dalam terenang.
      Tuntasnya, golongan belia merupakan pewaris kemerdekaan dan penerus kemajuan negara pada masa hadapan.  Mereka perlu memajukan diri, bersikap proaktif dan bersatu tenaga dalam membangunkan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.  Tanggungjawab yang besar perlu dipikul oleh belia untuk menjadikan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad suatu realiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komentar anda.