Jumaat, 8 April 2011

Amalan Gaya Hidup Sihat

Dalam era yang menongkah arus pemodenan ini sering kali kita dikejutkan dengan berita yang menyedihkan yakni berita yang berkaitan dengan masalah kesihatan.  Sebagai tamsilan, penyakit diabetes, sakit jantung, kanser dan sebagainya.  Oleh itu, kita mestilah mengetahui cara-cara menjalani kehidupan yang sihat agar diri kita terhindar daripada masalah kesihatan tersebut supaya nasi tidak menjadi bubur.

        Pertama sekali, kita perlu mengamalkan aktiviti bersenam dan bersukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.  Contohnya berjoging, bermain bola sepak dan seumpamanya.  Hal ini penting untuk menjamin badan kita sentiasa sihat dan cergas sepanjang masa.  Sekiranya aktiviti seumpama ini tidak diamalkan, badan kita akan mudah dijangkiti penyakit berbahaya.  Fungsi otak untuk memproses maklumat akan terganggu dan gagal menyimpannya di kotak ingatan dengan sempurna.  Justeru aktiviti kecergasan memberi banyak faedah kepada kita bertepatan dengan slogan "badan sihat, otak cerdas".

         Di samping itu, pengambilan makanan seimbang perlu kita amalkan agar berat badan kita sentiasa ideal dan risiko dihinggapi penyakit akan berkurangan.  Misalnya, kita perlulah melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian.  Seandainya jumlah kalori dalam badan tidak seimbang masalah kesihatan akan berlaku seperti masalah obesiti akibat pengambilan lemak yang berlebihan.  Oleh itu, setiap individu perlulah peka terhadap pemakanan mereka setiap hari agar tidak menyesal pada kemudian hari kerana "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna".

         Seterusnya, pemeriksaan kesihatan perlu juga dilakukan sebagai amalan gaya hidup sihat.  Setiap individu harus menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi mengetahui tahap kesihatan pada satu-satu masa.  Contohnya, pemeriksaan kadar denyutan jantung, tekanan darah dan sebagainya.  Oleh hal yang demikian, kita akan dapat mengesan penyakit yang kita hidapi dengan lebih awal.  Dengan itu, kita tidak akan bersusah payah mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli ubat-ubatan kerana "mencegah lebih baik daripada mengubati".

          Selain itu, pengamal gaya hidup sihat juga amat mementingkan tidur dan rehat yang secukupnya.  Perkara ini sangat penting kerana kita akan kembali bertenaga untuk melaksanakan tugasan harian dengan sempurna.  Tidur yang mencukupi bagi seseorang ialah selama lapan jam sehari.  Sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan tidur yang mencukupi akan menyebabkan produktiviti mereka menurun malah proses biologi dalam badan turut terganggu.  Pendek kata, tidur dan rehat yang cukup menjamin kehidupan yang sihat sejahtera. 

         Konklusinya, individu yang prihatin terhadap kesihatan mereka akan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan ini perlu dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia agar generasi hari ini sentiasa bertenaga untuk menyumbang kepada pembangunan negara.



Hasil Karangan oleh,
Nimrod Robert
Kelas 5Smart A Sains 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komentar anda.